Friday, September 21, 2012

Second year is coming!!!!

Sekarang berada di perantauan semula, menanti bermulanya perjalanan baru sebagai pelajar tahun kedua jurusan perubatan di manipal....

Urusan demi urusan di tanah air saban hari mengingatkan kembali betapa sibuknya kita dengan urusan yang membina diri, badan rasa letih seolah-olah diri ini sedang berlaku zalim, tidak pada hak empunya badan. Sekiranya letih ini berterusan, harus dijadikan ruang untuk mengeluh seketika, mengesat peluh, mengisi semula diri dengan habuan rohani dan jasmani, agar letih ini letih yang bermanfaat.

Buat keluarga di tanah air, moga terus kuat ikatan kita, tidak pernah tinggal doa untuk kesejahteraan dan keselamatan anda. Moga dirahmati pemergian ini, insyaAllah akan kembali semula ke pangkuan.

Buat sahabat di malaysia, terima kasih atas layanan mesra, sebagai tetamu anda telah menjalankan tanggungjawab anda sebaik mungkin, boleh dibalas lagi sekiranya anda bertandang ke rumah ana.

Buat sahabat yang jauh di mata, dekat di whatsapp, line, viber, dan sebagainya. Andai tersilap bahasa, tak tersampai makna kata, mohon dimaafkan. Segala mesej yang lambat dibalas serta internet yang tidak seberapa rupa, moga ia tidak meruntuhkan ukhwah maya yang terjalin.

dan buat sahabat yang sedang bersama di sini, mari kita sama-sama kuatkan hati, rohani dan jasmani, menjadi bakal-bakal doktor yang membantu agama, menjernihkan pemikiran dan hati manusia, menjadi pembimbing yang berani tegakkan kebenaran dan menjauhi kemungkaran, dan kembali semula kepada fitrah sang hamba.....

Tahun kedua ini, perlu pada sedikit perubahan dan pelan yang baik, agar hasilnya baik, semoga berjaya untuk diri sendiri......semangat2!!!!!


ps: Kepada sahabat yang sedang bertanding untuk calon persatuan, semoga berjaya. anda boleh dan secara peribadinya, anda seorang yang hebat...=)

Sunday, September 9, 2012

bila-bila sahaja


"bila-bila sahaja"

Hari ini,
sudah sempit negara kita,
dengan kemajuan yang tidak membina,
dengan kemudahan yang disalah guna,
dengan keindahan yang hanya sementara,

Hari ini,
sudah kacau negara kita,
dengan politik yang caca merba,
dengan pemuda yang membabi buta,
dengan wanita yang mukanya dua,
dengan manusia yang entah apa-apa,

Hari ini,
sudah hilang negara kita,
dengan akta pemusnah bangsa,
dengan maruah kelas kedua,
dengan semangat cintakan dunia,
agama tinggal sebatang kara

maka,
boleh jadi,
bila-bila sahaja bala datang menimpa,
bila-bila sahaja malapetaka melanda,
keadilan itu satu sahaja,
letakkan ia pada tempatnya,
agar mekar semula,
jiwa yang mahukan yang haq,
dan bencikan yang batil,
jiwa yang tahu makna beragama,
bukan sekadar ber-dunia,

maka,
binalah segera bahtera jaya,
maralah dengan laskar pendeta,
tempuh segala ranjau, rempuh semua rintangan,
hingga sampai ke puncak kebenaran,
yang tunduk hanya padaNya,
yang sentiasa memerhati kita.

sircanus,
miri 8.07 malam

Syawal yang redup...

Bismillah

Syukur padaNya, sempat kembali ke tanah air untuk meraikan hari raya bersama keluarga dan sahabat, walaupun tidak pada 1 syawal, bulan ini tetap ada 30 hari (lebih kurang), indah rasa hati dapat bersama mereka.

Alhamdulillah juga, diri ini layak untuk bergelar pelajar tahun kedua jurusan perubatan di MMMC, sepenuh penghargaan kepada pensyarah, senior, rakan-rakan dan semua yang terlibat membantu secara langsung ataupun tidak. Terima kasih atas peluang ini, moga lebih baik prestasinya dari tahun pertama.

Sungguhpun begitu, rasa sedih menyelubungi diri juga, tatkala melihat ada rakan seperjuangan yang tidak senasib ana. Rasa tidak percaya pada mulanya, diganti dengan rasa redha dengan ketentuanNya. Lumrah hidup, ada jatuh naiknya, ada baik buruknya, ada manis pahitnya. Kiranya ini bukan kali pertama, namun setiap kali ia berlaku, terasa seperti tidak ada lagi selepas ini. InsyaAllah, kalian semua mampu untuk meneruskan perjalanan ini, meskipun tanpa kami semua, kalian tetap terbaik.

Dan bagi mereka yang berjaya, moga diri dan jiwa kita lebih bersyukur akan nikmatNya
nikmat sihat untuk terus mengulangkaji dan menjawab soalan
nikmat masa yang cukup untuk bersedia menghadapi peperiksaan
nikmat tempat yang banyak mengajar kita kehidupan mahasiswa luar negara
nikmat keluarga yang sedia mendengar rintihan dan aduan kita
nikmat kawan yang inginkan sama-sama berjaya
oh, sungguh rugi andai tiada nilai kesyukuran dalam setiap nikmat ini, mohon doanya kalian agar ana terus menjadi seorang yang tidak leka dan alpa dengan semua nikmat ini. amin ya rabbi.


Hmm, semakin menghampiri penghabisan cuti, moga ada baiknya. buruk itu biarlah menjadi kayu ukur kita, bahawa iman ini masih lemah, perlu dikuatkan lagi dengan ilmu dan taqwa, serta sedikit kekuatan akal yang mampu membina hujjah akan kemungkaran yang datang menjenguk pintu hati ini. Moga syawal kali ini redup dengan redhaNya, buat kita semua, hingga akhir saat kita di pentas fana ini.


wallahualam