Tuesday, July 31, 2012

Madrasah Tarbiyah: Melonjak Transformasi Muslim

Salam ramadan diucapkan, moga masih kuat dalam mengimarahkan ramadan masing-masing.....

kita pohon kesabaran dan kekuataan untuk sentiasa taat pada perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
kita pohon ketenangan dan kemudahan dalam setiap urusan kita di dunia dan di akhirat kelak
kita pohon kesenangan dan kegembiraan untuk orang tua kita, saudara, keluarga, serta sahabat sekeliling
teruskan berdoa, bulan ini sangat istimewa buat si pemohon, yang sentiasa inginkan belas kasihan dan redhaNya......

Alhamdulillah, diberi peluang untuk menjadi moderator forum ramadan yang bertajuk Madrasah Tarbiyah : Melonjak Transformasi Muslim. Forum yang berlangsung di rotary club manipal sangat memberi input yang baru, malah membuka ruang kepada semua yang hadir untuk melihat semula ataupun refleksi ramadan yang dilalui kali ini, moga-moga madrasah tarbiyah yang kita semua katakan itu adalah satu realiti, dan realitinya mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih bertaqwa di sisi Allah s.w.t

Dalam forum ini, beberapa persoalan diketengahkan kepada para panelis dan juga daripada hadirin, semuanya dijawab dengan baik, inshaAllah akan dikongsikan dalam coretan ini.

1) Madrasah tarbiyah? Transformasi apa yang kita perlukan sebagai seorang muslim?

Kita melihat dari segi pelaksanaan bulan ramadan ini sebagai medan untuk melatih diri untuk taat pada syariat, serta melatih diri untuk menjadi muslim yang kuat ibadahnya, 30 hari kita lalui, penuh dengan cabaran dan tuntutan, semata-mata ingin mengekalkan puasa yang kita ada. Risau sekiranya puasa ditolak, ataupun masanya dimanfaat pada perkara yang sia-sia. Maka, itulah madrasah tarbiyah, silibus ramadan yang pada akhirnya menawarkan anugerah yang sangat bernilai, iaitu taqwa oleh Allah s.w.t

Sebagai seorang muslim, kita haruslah sentiasa melihat akan kekurangan dan kelemahan pada diri, agar kita mampu merangka yang terbaik untuk kita atasi semua itu, kekurangan menjadi titik tolak semangat untuk terus berusaha, dan kelemahan sebagai sandaran kita untuk tidak mudah mengalah, leka dengan nikmat yang ada, semua ini adalah milikNya, yang memiliki segenap khazanah alam semesta. Jadi, transformasi yang kita perlukan ialah dari segi penilaian semula amal kita, niat kita, tujuan hidup kita sebagai muslim. Ramadan ialah bulan yang terbaik untuk menjana semula transformasi diri, kerana tiada bulan yang lebih lapang berbanding bulan ramadan.

2) Visi ramadan dan bagaimana merealisasikan visi tersebut


Andai ramadan kita tiada visi, kita samalah seperti puasa orang-orang yang tidak mengetahui hakikat puasa yang menjanjikan taqwa, iman dan amal yang berterusan. Visi adalah keperluan, supaya kita dalam jalan yang betul, mengikut landas syariat, quran dan sunnah. Seseorang akan menjadi lebih fokus dalam beribadat, hari-hari ramadan dilalui dengan tujuan yang jelas, dan diakhiri dengan harapan yang tinggi untuk kekal dalam ketaatan pada Allah s.w.t.

Sebagaimana pepatah, cuba dulu, baru tahu, begitulah caranya untuk melihat adakah visi ramadan kita ini berjaya atau tidak. Keluar daripada kebiasaan diri di 11 bulan yang lain, memerlukan satu keazaman dan tekad dalam hati, kita ingin lakukan sesuatu yang luar biasa. Umpama pemain bola sepak, kejohanan peringkat nasional memerlukan latihan yang lebih kerap berbanding kejohanan peringkat negeri. Dan kita semestinya ingin menjadi yang pasukan yang terbaik dan memenangi kejohanan. Ramadan juga setahun sekali, dan cukuplah 11 bulan untuk kita mengasah diri untuk menjadi "luar biasa" di bulan mulia ini.

3) Istiqamah dan cara mengekalkannya


Istiqamah ini ibarat inertia kepada amal, ia tidak akan berhenti, selagi mana tiada kuasa atau daya yang boleh menghentikannya. kita keluar dari ramadan dengan diri yang baru, segar, dan sedia untuk berdepan dengan fitrah yang hanya sebulan kita tinggalkan. Istiqamah itulah bukti ramadan kita terisi, ramadan kita berjaya dengan visi, dan ramadan sebagai madrasah tarbiyah. Cara untuk mengekalkannya? mudah sahaja kita analogikan kepada situasi sebegini

- andai kata kita mampu untuk jadikan nasi lemak sebagai menu sarapan, nasi campur untuk tengahari, kopi untuk minum petang, nasi lauk lagi untuk makan malam, dan akhirnya dengan kopi (supper), setiap hari pulak tu, maka kenapa boleh berlaku tidak adil pada amalan-amalan yang kita lakukan di bulan ramadan?

kalau macam tu, masih tidak terlambat untuk kita ubah balik pemikiran kita, agar selari dengan tuntuan Islam yang mengajak manusia, untuk taat secara berterusan hingga ke akhirnya.

hmm, jadi begitulah sedikit perkongsian untuk forum, harapnya kita beroleh manfaat dari apa yang disampaikan. inshaAllah, jadikan ramadan bulan terbaik bagi kita, bulan untuk membina empangan iman, bulan untuk membina inertia amal, dan bulan untuk kita cemerlang sebagai pelajar madrasah tarbiyah..


mode: exam dalam 2 minggu lagi, mohon doanya kalian agar diri ni berjaya..........amin ya rabb

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan

Salam sejahtera diucapkan.....

Ingin mengambil kesempatan, semua ingin menceritakan perihal ramadhan, timbul rasa ingin berkongsi dalam laman yang biasa ini.

Ahlan wasahlan ramadhan,
Doaku diperkenan,
Kini kita bertemu kembali......

Syukur kepada Allah, dengan izinNya, kita mampu menjengah ke bulan yang menjanjikan pelbagai pelaburan dunia dan akhirat, bulan yang menyediakan nikmat yang sukar untuk dicari di bulan yang lain, dan bulan yang penuh dengan pengajaran, terutamanya dari sirah nabawi dan para sahabat, serta pejuang islam yang lain, banyak cerita mereka di bulan ramadhan, ibrahnya tetap segar dalam minda, sebagai bekal berdepan dengan musuh yang nyata......

Ramadhan

Mungkin ada yang hadir dengan perasaan yang biasa, hal ini yang kita ingin perkatakan dalam post kali ini. Dalam berjuta-juta manusia yang bersemangat untuk mengimarahkan ramadhan, ada juga berjuta-juta manusia yang hanya melihat ramadhan sebagai bulan biasa yang hanya memerlukan sedikit kekangan untuk memastikan mereka juga "mengimarahkan" ramadhan.....

kita sandarkan pemahaman kita pada hadis Rasulullah, yang menerangkan bahawa kebanyakan yang berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga. Hilang semangat dalam  ramadhan, itu yang dikatakan "imarah"
ataupun ihya ramadhan mereka. mungkinkah kita juga? sama-sama kita mencuri masa ini untuk bermuhasabah......

Kita melihat orang-orang yang bersedia dengan perancangan masing-masing, kita doakan agar perancangan kita semua diberkati perjalanan dan pelaksanaanNya, moga-moga terbit taqwa dari usaha yang kita lakukan.
terutamanya dalam bulan ini, dimana tersedia tiga fasa, rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka. Hayati konteksnya, di sini timbul rasa kita untuk menjadi seorang muslim yang betul-betul merancang, untuk meraih taqwa, untuk meraih rahmat, pengampunan dan jaminan dari api neraka......


Alhamdulillah, pengalaman berpuasa di luar negara sangat memberi pengalaman yang banyak, bermula dari qiam hingga ke selepas tarawih, kita penuhkan dengan ibadah, setiap saat ini sedang memberi keuntungan pahala yang sangat banyak, jadi cuba jangan siakan masa yang ada, mari berubah!!!!!

Ahlan wasahlan ramadhan,
Kelebihanmu, keberkatanmu, kekuatanmu,
Moga jadi benih taqwa buat kami.....

Hari ini baru bermula ramadhan, perancangan semua dalam minda, sudah diterjemahkan dalam kertas, fail dan sebagainya, tinggal untuk menggerakkan sendi dan otot kita untuk merencanakannya. Ayuh, mari rasai ramadhan dengan rasa yang baru.......

saranan di sini: BEROBJEKTIFLAH!!!!!
-kita tidak mampu buat semua perkara, maka dengan adanya objektif, kita lebih semangat
- kita tidak mungkin mengelak dari lalai, maka dengan adanya objektif, kita lebih peka
dan dengan adanya objektif, kitalah golongan yang merancang untuk MENGIMARAHKAN RAMADHAN...


sekian, dari tanah hindi......

(Jom dengar album baru Maher Zain forgive me, soothes the mind and soul...., tapi yang lebih utama ialah zikir dan Quran, jangan lupa ya.....)

Sunday, July 1, 2012

Makna pada ilmu

Salam sejahtera, post ini dibuat dalam keadaan diri yang mula mengeluh, terlalu banyak yang perlu diulang kaji untuk exam practical, class test dan akhirnya university examination. Mungkin diri salah merancang, ataupun memang banyak yang perlu dihadam sebagai persediaan tahun pertama jurusan perubatan di Manipal.Apa-apa pun harapnya semangat untuk terus menimba ilmu terus mekar dalam jiwa, menular bagaikan pandemik yang merasuk setiap sendi, liang, pembuluh darah, malah urat saraf untuk bersatu, membantu diri ini yang perlukan ilmu untuk terus hidup.

Kita mungkin beralasan, belajar ini hanya pada tempatnya, di sekolah sahaja, di kampus universiti sahaja. di perpustakaan sahaja, namun ramai yang masih kurang menerima bumi ini sebagai tempat belajar, iaitu realiti. Hakikatnya, ilmu yang diraih, jika dikira balik, lebih banyak yang disia-siakan berbanding yang telah digunakan sebaiknya selama kita telah terdidik untuk mula berlajar. Ya, post ini ditulis ketika badan sudah letih membuat nota, menghafal formula dan mnemonik, melukis gambar yang penting, dan sebagainya. Letih, fikiran mula mencari alasan;

" study banyak pun bukan semua guna, rilek la..."
" banyak sangat la, bukan nak tanya semua pun...."
" haishh, susah sangat la nak ingat benda ni......"

Sedihnya, daya juang untuk belajar mula tergugat. mungkin, kita perlu dalami semula tujuan meraih ilmu ini, kita yang telah memilih jalan ini, maka bersedialah dengan akibat dan pengajaran sepanjang jalan.jom.....

ILMU yang berguna dunia dan akhirat


ini adalah alasan yang terbaik, untuk kita renungkan tujuan belajar ini, barangkali ilmu ini yang kita membantu kita di dunia, senang untuk dekat denganNya. mungkin di akhirat, sebagai hujah pada masa muda kita. sekurang-kurangnya terisi juga masa muda kita dengan ilmu, bukan dengan nafsu semata.teringat akan hadith ini;

Di hari kiamat, setiap hamba Allah tidak akan mengorak langkah walaupun setapak ke mana-mana, selagi ia belum ditanya tentang 4 perkara penting ini :

1) Tentang umurnya, ke mana ia dipergunakan ?
2) Tentang masa mudanya, bagaimana ia menghadapinya ?
3) Tentang harta, dari mana ia diperolehi dan ke mana serta bagaimana 
ia membelanjakannya ?
4) Tentang Ilmunya, apakah ia telah beramal dengannya ?

Hadis Riwayat Tirmizi dan Darami



jadi, gunakan sebaiknya masa yang ada untuk menuntut ilmu yang dipilih, akan menjadi aset terpenting di hari muka




ILMU yang berguna untuk kebaikan manusia, masyarakat dan negara


kita masuk pada peranan limu di dunia, mula-mula kita harus ingat, peranan umum ilmu ialah mempengaruhi masyarakat, tamadun, dan sebagainya. Ilmu ada yang baik dan buruk, jadi potensi kedua-dua ini adalah sama, tidak pernah lebih atau kurang. Sekarang mari kita definisikan semula misi pencarian ilmu ini, adakah ia  betul-betul memberi manfaat, atau akan memberi mudharat? sudah tentu tidak (itu yang kita akan katakan), cuma terfikir seandainya ilmu ini yang memberi mudarat kepada orang lain, masyarakat dan negara? mohon dijauhkan semua itu dengan izinNya...........


sebab itulah, kita buat checklist, berapa banyak ilmu yang kita siakan, padahal ilmu itu mungkin yang boleh memberi kebaikan kepada diri kita, dan orang lain. mungkin juga ilmu yang kita siakan ini, menjadi kayu ukur kepada seseorang, adakah dia betul-betul menghargai ilmu. Memang susah untuk mencontohi cendikiawan dahulu, yang menguasai pelbagai juzuk ilmu, seolah-olah tidak mempersiakan salah satu ilmu tersebut. Sebaiknya, jadikan ia pendorong kepada kita semua untuk menghargai ilmu, seterusnya menjaga ilmu tersebut, agar terus mekar di minda. 


Suka kita melihat doktor yang mampu berkarya, berpuisi, berpantun. ataupun jurutera yang pandai berbahasa asing. ataupun cikgu yang cekap dalam ilmu keusahawanan, bukan setakat mengajar. Sekiranya saranan ini dilihat sebagai dorongan untuk mempunyai dua pekerjaan, anda silap. apa yang ingin dikatakan disini, tidak salah untuk menguasai ilmu lain, dan lebih baik menggunakannya mengikut ruang lingkup yang telah diberikan.


doktor tersebut boleh menceriakan ruang jurnal perubatan dengan bahasa yang indah
jurutera tersebut boleh menjadi pengkaji buku asing sebagai tambahan pada ilmunya.
cikgu tersebut boleh menguruskan kewangan sekolah, keluarga dan persatuan yang disertai.


dan banyak lagi....




insyaAllah, dengan izinNya dan perancaganNya jua ilmu ini terus ada, ilmu ini terus hidup dalam jiwa, dan ilmu itu lenyap kerana kesombongan kita. jadikan ilmu ini jalan untuk meraih hidayahNya, ilmu ini sebagai peneman hidup kita, tidak sanggup untuk hidup bodoh, tidak tahu dan tidak celik ilmu. semoga diri ini kembali bersemangat untuk terus ulang kaji, sebab exam dah dekat.....




sekian, wallahualam


p/s: Google nexus 7 is the next tablet on the list, looking forward of having one here, practically android has expand its potentials, more than what other rivals (apple, microsoft) can do....=)

Sunday, June 10, 2012

Salam rindu buatmu....

Diri ini sangat kejam, meninggalkan laman ini buat sekian lama, tandus dengan isian ilmiah, kontang dengan cerita-cerita yang menyedarkan, post demi post kering tanpa pengisian, yang menulis ini sangat kejam, laman ini hanya sebagai penyejuk mata orang lain, dikala teringatkan laman ini, pasti teringatkan orang lain yang lebih baik, alangkah indah dapat menjadi mereka semua........

Tidak mahu mengaku sibuk, cuma kesuntukan masa mengemaskini, perjalanan akademik ini hampir menutup tirai tahun pertama, berbaki dua bulan lagi sebelum peperiksaan. Pasti hati tidak sabar nak habiskan tahun pertama, melihat sahabat-sahabat lain telah selesai dengan urusan mereka. Doaku buat kalian, agar selalu cemerlang dunia dan akhirat.

Sahabat yang diredhai,
andai kebenaran itu tidak dihiasi dengan keindahan akhlak, pasti kebenaran itu nampak pudar dan lemah. Kita mengaku mendokong prinsip yang jelas, tetapi tidak kena pada penjelmaan sifat yang ada pada diri. lihatlah di sekeliling kita, ramai yang tersungkur, tak ramai yang bangkit berlari semula, menepis setiap tohmahan dan ancaman yang sentiasa datang. Daie yang penuh dengan kesantunan akhlak dan ketelusan akidah, kebenaran itu akan jelas kelihatan, walau segelap manapun musuh mengaburinya.....

Sahabat yang dikasihi, 
andai ukhwah itu sebagai alat untuk mempergunakan kepentingan, seburuk-buruk tindakan ialah memutuskannya. Sedarlah, ukhwah itu satu pergantungan, bukan satu formula yang jelas, bukan satu teori tanpa bukti, tetapi satu elemen semula jadi yang perlu diuji. Saban hari menerima dugaan dalam berukhwah, dari segi komunikasi dan macam-macam lagi, jangan mudah mengeluh. Melatah itu baik, tetapi perlu pada niatnya. mungkin diri kurang memahami kehendak, atau tidak memahami lenggok bahasamu, cukuplah sekadar kita mencari titik pertemuan yang lebih jelas, agar ukhwah itu tulen dan nyata bisanya.....

sahabat yang dirindui,
kalian pasti ana rindui, suara, gerak-geri, gurauanmu, senyum tawamu, malah ilmumu sangat ana damba. Pilu, bila akan bertemu, pastinya di syurga, tetapi belum tentu di dunia ini. moga terus istiqamah dalam mendidik jiwa, menuntun perasaan agar sentiasa tunduk padaNya, tak kira masa, dimana jua, dalam apa pun perkara.

yang pasti,
ini bukan lamunan yang semberono,
ini coretan hati yang kian lemah,
namun gagah mencari hidayahNya,
mohon kekuatan ya Rabb,
agar diberi peluang untuk membaiki diri,
doamu sahabat amat dihargai,
bukan untuk mengampu,
tapi ukhwahku padamu.......



sekian,
Manipal, 12.48 pagi

Sunday, April 8, 2012

Liqa' Mahabbah

Alhamdulillah, dua hari yang lepas telah diadakan majlis perkumpulan pelajar muslim semua batch di manipal, majlis ini sememangnya menjadi medan perkenalan antara senior dan junior di samping merapatkan ukhwah yang masih samar, tidak mengira faktor usia, moga persahabatan itu telah terjalin dengan baik.

Sangat bersyukur akan kehadiran mereka yang tidak pernah kenal erti letih dalam membimbing dan menjadi pengemudi mahasiswa Islam di Manipal, sememangnya mereka akan terus menjadi inspirasi kepada kami semua.

Sekitar program
Program liqa' mahabbah ini dianjurkan oleh IYA (Islamic Youth Association) Manipal dan sememangnya menjadi aktiviti tahunan (setiap semester). Dalam program ini, para senior akan memperkenalkan diri masing-masing, dan juga akan sediakan aktiviti kepada junior yang baru sahaja sah sebagai ahli keluarga muslim yang baru di manipal.

selain itu, majlis juga diikuti dengan persembahan qasidah yang indah, sebagai penyeru majlis. Alunan kitab suci diperdengarkan, mendengar kalam ilahi yang penuh dengan hikmah dan pengajaran, agar setiap muslim itu bersatu padu, hindarkan segala percakapan, perbuatan yang akan merosakkan iman kita yang teguh, terasa tidak mahu majlis ini berlalu tanpa ingatan iman dan juga ukwah antara satu sama lain.


insyaAllah, dengarnya program ini akan diberi nafas baru semester depan, dengan penjenamaan yang baru. Semoga objektifnya tetap sama, dan diperbaiki kelemahan-kelemahan sepanjang rentetan program ini.


Qasidah experience
http://www.youtube.com/watch?v=AzmjqrGqAlA&feature=youtu.be

sebagai halwa telinga buat anda...

sekian

Friday, March 30, 2012

Soal tidak tahu

Salam sejahtera diucapkan...

Syukur, sekarang ada masa yang lapang untuk menulis, berfikir dan melakukan aktiviti yang boleh merehatkan badan dan menenangkan jiwa, lumrah kita sebagai manusia, perlukan masa untuk mengisi semula tenaga dan kudrat yang telah diguna. Biarpun sebagai seorang mahasiswa, keutamaaan itu mesti ada, untuk memenuhi kriteria sebagai seorang yang mampu mengurus masa dengan baik, seimbang antara rehat dan kerja, dan insyaAllah terus bersemangat dalam memikul tugas sebagai seorang hambaNya yang taat sentiasa....


Tatkala seronok bersembang bersama rakan-rakan di bilik, mendengar celoteh masing-masing, hati tertarik akan kesudian dan keterbukaan diri masing-masing untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, malah sedia untuk diperdengarkan dengan bait-bait nasihat yang bisa meruntun jiwa untuk terus berada dalam kesedaran yang tinggi. Malah, inilah ubat kepada kesunyian sementara, diri yang jauh dari keluarga, rakan-rakanlah yang menjadi penggantinya.

hmm, teringat akan pepatah cina yang diungkapkan oleh seorang sahabat berbangsa cina,

" Tahu yang kita tahu, dan tahu yang kita tidak tahu, adalah sebenarnya ilmu"
begitulah bunyinya. Hmm, hati rasa terpukul bila memikirkan akan diri ini, berapa banyak yang kita tahu, dan berapa banyak yang kita tidak tahu, dan adakah kita tahu yang kita tidak tahu.....

melihat pada situasi sekarang, kiranya kita banyak tahu tentang apa yang dipelajari, terpulang kepada jurusan masing-masing, dan mungkin juga kita tidak tahu yang kita sebenarnya tahu akan perkara yang bersangkut paut dengan jurusan kita.


tetapi yang lebih baik untuk direnungkan, adalah soal kita ini tahu ke apa yang kita tidak tahu..? agak sukar untuk dibicarakan, tetapi melihat kepada penyataan ini, sudah tentu mengundang pelbagai tafsiran...


ingin mengajak pembaca kepada satu kata putus: bila kita tidak tahu, katakan kita tidak tahu, saat itulah baru kita tahu yang kita tak tahu pun.

itulah sifat seorang yang jujur, dalam urusan mahupun dalam percakapan, sikap mulia inilah sebenarnya sebuah ilmu yang berharga.

untuk menjaga diri dari fitnah yang berleluasa, mengakulah untuk katakan tidak tahu.
Sebaiknya, kita sedar ada perkara yang kita belum lagi kuasai ataupun fahami, malah ada juga yang perlu kita baiki akan perkara yang kita tahu.



hmm, ada benarnya pepatah itu, ilmu yang sangat berharga, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang ingin menyampaikan kebenaran dan perihal kesabaran. Berjuanglah untuk terus tahu, dan sedarlah akan batas pengetahuan kita, kita akan disoal tentang apa yang diucap, dan apa yang telah kita amalkan. Moga semua ini menjadi iktibar buat kita......


sekian untuk coretan kala ini, akan menyusul selepas ini.....

Monday, March 12, 2012

Serius ni, aku rindu padamu!!!

Cuti sudah tamat. 5 bulan selepas ini terasa berat, dengan bermacam-macam tugas, dan juga misi yang perlu diselesaikan. Keluhan ini semakin lama semakin terasa, seakan-akan tidak mahu pergi, sedangkan aku disini amat mengaharapkan sedikit sentuhan dorongan darimu, benar, dan aku serius.....aku rindu padamu!!!!


Rindu untuk bercerita denganmu, berkongsi pendapat, walau berbeza pemikiran, itu bukan alasan. Ah, sangat gembira bila melihat dirimu mengatakan pendirianmu, aku sangat menghormati semua yang telah kau lafazkan. Ya, aku sangat rindu padamu....

Rindu untuk berkongsi suka dan duka, saat dunia ini tidak mampu digagahi oleh kudrat sendiri, kau hadir sebagai pencetus semangat, penyindir yang berguna, malah pengkritik yang ikhlas, demi kebaikan diriku, dan juga dirimu.....

Rindu untuk berjuang denganmu, kekuatanmu adalah inspirasiku, baiknya dirimu, hanya mereka yang mengenalimu sahaja yang tahu. Sungguh, aku sangat-sangat rindu padamu, bukan aku katakan kau tidak lemah, tetapi lemahmu tidak pernah membuatkan aku gusar dalam perjuangan ini, tidak sesekali aku membiarkanmu tersadai dalam lautan kelalaian, sebagaimana yang kita perlu harungi saban hari....


Ya, aku sangat rindu padamu, umpama isteri tercinta, bergitulah perumpamaannya....
Aku sangat merinduimu, ingin bersua, takut tidak kesampaian, ingin bertemu, takut bukan pada takdirNya.....


Semoga dirimu sentiasa diberkati Allah, sentiasa dipayungi rahmatnya, redhaNya sentiasa mengirimu, dan begitu juga harapanku, semoga kita dapat bertemu....



siapakah dia?....itulah anda, yang membaca coretan hati ini.....