Alhamdulillah, setelah selesai mendengar ceramah politik anjuran pelajar batch sendiri di masjid, diri jenuh memikirkan apa yang sebenarnya mahasiswa perlu untuk melibatkan diri dalam politik. Kupasan panelis dan moderator yang matang membawa mesej baru agar mahasiswa hendaklah mula untuk melihat semula dunia ini dari perspektif politik yang lebih segar dan relevan. Semasa ceramah, puas dihidangkan dengan analogi dan juga dalil yang banyak menjernihkan hadirin yang kebingungan, inshaAllah beroleh manfaat daripada apa yang disampaikan....
Melihat kepada arus perjuangan mahasiswa pada persada politik.....
Kita mempunyai zaman gemilang yang sangat mahsyur, sayangnya terkenal kepada si pencari fakta, dan bukan pada mahasiswa seluruhnya. Ramai yang mungkin tak mengenali aktivis zaman 70an, 80an, malah 90an, dan tidak tahu akan rentetan demonstrasi yang banyak mengubah persepsi masyarakat terhadap mahasiswa. Kata pujangga, belajarlah dari sejarah, maka dengan sejarah ini kita mengacu langkah baru, bukan mula bongkak dengan kegemilangan hari semalam.
kini, perjuangan mahasiswa masih segar, cuma berubah rentak dan wadah. Budaya demonstrasi hidup semula, cuma kurang bisanya seperti dahulu. Semakin banyak inisiatif gerakan kampus untuk menghidupkan suasana politik, kerana inginkan tuntutan mereka ditunaikan. Malah, kita mungkin sudah mencapai tahap tertinggi dalam perjuangan ini, iaitu untuk bertanding menjadi wakil parlimen, tetapi mengambil posisi wakil rakyat berstatus mahasiswa.
apa yang ingin diperkatakan, moga-moga usaha ini ada maknanya pada masyarakat mahasiswa. Untuk menjadi suara mahasiswa dalam masyarakat, harus diingatkan ,kita sedang mewakili mahasiswa yang ragamnya pelbagai, dari sebijak-bijak insan, sehingga semalas-malas orang, semuanya mempunyai ruang yang sama rata untuk hidup di universiti, iaitu hak untuk dididik dengan baik ,dan juga dibentuk mengikut acuan agama dan akhlak yang mulia.
bukan untuk menentang idea menjadi wakil rakyat, tetapi diri ini merasakan mahasiswa masih belum sedia sepenuhnya untuk menerima kenyataan ini. Syukur, wakil mahasiswa yang akan bertanding ini sangat mantap, sangat hebat, namun begitu diri ini merasakan ianya masih belum memberi impak yang besar kepada masyarakat mahasiswa.
bukan juga menentang sebarang perubahan, cumanya kita mungkin boleh merujuk kembali inisiatif kerajaan dalam mempelbagaikan usaha universiti dalam merangka strategi yang lebih baik untuk memastikan kualiti graduan yang terhasil adalah yang terbaik. ataupun, peranan parti pembangkang dalam mempertimbangkan kepentingan pendidikan sebagai aset utama, seperti pendidikan percuma, pemerkasaan subjek teras oleh pihak kerajaan dan banyak lagi. Ya, mungkin tulisan ini sudah tidak betul jalannya, cuma ingin disampaikan bahawa mahasiswa harus juga terlibat dalam mengetahui nasib mereka, sekiranya mereka ingin terus dimartabatkan di universiti.
apa yang boleh dicadangkan ialah supaya membuat mahasiswa lebih peka akan gerakan aktivis mahasiswa yang inginkan perubahan yang lebih besar, serta menguntungkan rakyat. Kalian sangat hebat, sudah mampu untuk memperjuangkan kebenaran dalam skala ini, satu harapan kepada mahasiswa bahawa kita mampu untuk menjadi suara perubahan. Sekiranya mahasiswa masih terawang-awangan, dengan kelekaan terlampau serta sikap yang tidak seberapa, susah untuk kita katakan, untuk siapa sebenarnya suara mahasiswa tersebut, adakah hadirnya mereka sebagai perwakilan boleh mengubah nasib mereka? maka sama-samalah kita bersatu, menyokong perjuangan mereka, membantu sebaik mungkin usaha mereka, malah mendoakan mereka agar jika benar perjuangan mereka, maka hadirkan rasa malu untuk tidak bertanggungjawab kepada kami, golongan mahasiswa, saat menjadi perwakilan di persada arus politk tanah air....
sekian